Suatu petang sekitar penghujung tahun lalu, Azman Anas, 49, tiba-tiba terasa sebahagian mukanya kebas. Keadaan itu berterusan hingga ke malam. Namun disebabkan tiada perkara serius yang berlaku pada wajahnya, lelaki itu tidak menghiraukan.
Sehingga dia bangun keesokan paginya, alangkah terkejut Azman apabila mendapati kelainan pada sebelah wajahnya.
Saya terperanjat apabila bangun mendapati wajah sebelah kiri seperti terjatuh. Bibir terjuih, begitu juga dengan pipi dan mata pula sukar dikerdip atau ditutup rapat, kata beliau.
Risau dengan apa yang berlaku, tanpa berlengah dia terus berjumpa doktor pada pagi itu juga. Setahu Azman, sebelum ini dia tidak mempunyai sebarang penyakit sama ada tekanan darah tinggi mahu pun diabetes. Dia mula menyangka itu mungkin petanda serangan penyakit tersebut.
Mungkin kurang terdedah dengan keadaan sebegitu, doktor yang beliau temui terus merujuk kepada pakar saraf kerana menyangka ia petanda serangan strok.
Azman agak kesal kerana doktor tersebut tidak menjalankan sebarang ujian untuk mengesahkan jenis penyakit sebaliknya terus merujuk kepada pakar.
Mungkin benda sudah hendak jadi, pakar pula bercuti ketika itu menyebabkan kes saya tertangguh hingga hampir dua minggu. Dalam pada menanti keputusan, saya mencuba pelbagai jenis rawatan alternatif dan kemudian barulah saya disahkan mengalami Bell's Palsy, katanya.
Sebelum disahkan mengalami penyakit itu, salah seorang saudaranya yang merupakan doktor merasakan beliau mengalami Bell's Palsy.
Sehari selepas mukanya menjadi herot dia terus menjalani rawatan bekam kerana merasakan ia berkaitan dengan saraf. Namun dia tidak mampu bertahan dengan rawatan tersebut yang katanya sangat menyakitkan. Dia juga menganggap itu antara kesilapan besar menyebabkan tempoh pemulihan menjadi lebih sukar.
Baginya, pengamal bekam mungkin kurang pengalaman dan pengetahuan menyebabkan keadaan bertambah teruk. Disebabkan ingin cepat sembuh dia mengikuti saranan demi saranan namun semuanya hanya memburukkan keadaan. Dalam pada itu, dia terus mengambil steroid yang diberi doktor namun dia mengalami sakit di bahagian perut yang teruk.
Saya tidak ada pilihan, terpaksa juga meneruskan pengambilan steroid kerana ia menunjukkan sedikit peningkatan, katanya.
Dalam masa yang sama, Azman turut menjalani fisioterapi. Terapi menggunakan kuasa elektrik itu katanya walaupun secara perlahan, namun menunjukkan peningkatan.
Saya nasihatkan kepada mereka yang mengalami, jangan berlengah mendapatkan rawatan dan jangan cepat terpengaruh dengan pendekatan alternatif kerana ia belum tentu menyembuhkan, katanya.
Apa itu Bell's Palsy?
Menurut, Dr. Loganathan, Bells palsy adalah satu penyakit kelumpuhan muka idiopatik (tidak diketahui punca) akibat disfungsi saraf tengkorak VII (saraf muka) yang mengakibatkan ketidakupayaan mengawal otot muka pada bahagian yang terjejas.
Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan kelumpuhan muka contohnya ketumbuhan otak, strok dan penyakit Lyme. Namun jika tiada sebab dan berlaku kelumpuhan, maka ia dipanggil Bell's Palsy, katanya.
Menceritakan lebih lanjut katanya, pesakit yang mengalami strok biasanya mengakibatkan bukan sahaja kelumpuhan pada wajah malah tangan dan beberapa anggota badan yang lain turut terjejas. Berbeza dengan Bells palsy di mana pesakitnya hanya mengalami lumpuh muka yang bukan berpunca daripada tekanan darah tinggi, diabetes atau sebagainya.
Menurut beliau, nama Bells palsy diberi sempena pakar anatomi Scotland Charles Bell yang pertama kali menggambarkan keadaan tersebut sebagai penyakit mononeuropati akut (penyakit yang melibatkan satu saraf).
Biasanya, ia berlaku secara tiba-tiba secara separa namun dalam kes tertentu (peratusan rendah) ia boleh melibatkan kelumpuhan kedua-dua belah muka.
Jelasnya, punca yang kurang dikenalpasti mungkin disebabkan radang akibat jangkitan viral seperti herpes yang menyebabkan saraf muka menjadi bengkak. Saraf tersebut, katanya, bergerak melalui tengkorak dalam saluran tulang kecil di bawah telinga.
Disebabkan ia membengkak dan mampat dalam saluran tulang yang sempit, dipercayai keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan atau perencatan pada saraf tersebut.
Namun itu hanya sebahagian daripada punca yang dikenalpasti kerana punca sebenar tidak diketahui, katanya.
Selain itu kata beliau, beberapa punca mungkin mempunyai kaitan dengan serangan Bell's Palsy seperti trauma, faktor sekeliling, emosi dan metabolik tidak stabil.
Simptom Dan Petanda
Dr. Loganathan berkata, Bell's Palsy dikenalpasti melalui bentuk muka seakan jatuh sebelah. Kegagalan saraf VII berfungsi menyebabkan mata pesakit tidak boleh dikerdip dan tutup, senyuman dan pergerakan bibir terganggu, lidah mengeras, kening juga seperti berkerut dan terangkat, air liur meleleh dan hidung seakan terjatuh pada bahagian yang terjejas.
Kata beliau, sesetengah pesakit boleh merasai kelainan pada wajahnya beberapa hari sebelum diserang Bells palsy seperti rasa kebas, sakit bahagian telinga dan rasa kelainan pada lidah.
Perkara tersebut, katanya, diberitahu oleh pesakit yang pernah mengalami serangan penyakit itu dan ia berulang berkali-kali.
Ada pesakit yang mengalaminya lebih daripada tiga kali walaupun keadaan wajahnya sudah kembali seperti normal, kata beliau.
Biasanya, kata Dr. Loganathan, Bells palsy menyerang secara random di kalangan mereka yang berusia, wanita selepas bersalin atau ketika kedatangan haid, remaja dan mereka yang mengalami stres. Malah, katanya, ada juga kes yang berlaku di kalangan kanak-kanak namun peratusannya sangat rendah.
Serangan boleh dikelaskan kepada gred tertentu daripada sederhana hingga teruk dan segelintir mengalami kelumpuhan kedua-dua belah bahagian (hanya satu peratus), kata beliau.
Rawatan
Menurut Dr. Loganathan, hampir 50 peratus pesakit boleh pulih dalam masa dua hingga tiga minggu malah ada yang menunjukkan pemulihan dalam tempoh 10 hari tanpa sebarang rawatan khusus.
Sementara itu, 35 hingga 40 peratus mengambil masa lebih kurang setahun untuk pulih dan hanya lima peratus yang tidak pulih sepenuhnya di mana wajah mereka kekal menunjukkan mengalami Bell's Palsy, katanya.
Mengulas lanjut mengenai rawatan yang diberi kata beliau, doktor biasanya akan memberi pesakit ubat makan steroid (kortikosteroid) dengan dos yang tinggi pada peringkat awal serangan selama dua minggu. Ia akan berkurangan sehinggalah pesakit menunjukkan peningkatan.
Sesetengah pesakit mungkin tidak memerlukan rawatan khusus bergantung kepada tahap yang dilaluinya.
Pesakit yang menunjukkan kelumpuhan menyeluruh, terutama melalui petunjuk mata dan mulut tidak boleh ditutup pada bahagian terjejas, dirawat dengan pembedahan khas, katanya.
Beliau menasihatkan pesakit mendapatkan rawatan awal dalam masa 48 jam selepas serangan berlaku bagi memudahkan proses pemulihan.
Bagi masalah yang dikenalpasti berpunca daripada radang, doktor akan memberi antiviral berserta steroid. Namun dalam kebanyakan kes yang berlaku, steroid dilihat lebih berkesan berbanding antiviral, kata Dr. Loganathan.
Beliau turut menyarankan pesakit melindungi mata mereka daripada terdedah dengan memakai pelindung dan menitis ubat cecair bagi mengelak mata menjadi kering akibat kesukaran mengerdip mata.
Rawatan fisioterapi kadangkala diberi kepada pesakit bagi membantu menguatkan otot terjejas dan sebagai stimulasi kepada saraf yang terlibat. Jenis-jenis fisioterapi yang biasa diberi kata beliau adalah urutan muka, senaman otot muka dan stimulasi elektrik. Namun katanya berdasarkan daripada kajian, fisioterapi tidak membantu sepenuhnya.
Pembedahan
Bagi masalah Bells palsy yang berlanjutan, pembedahan memperbetulkan saraf muka mungkin membantu. Pelbagai teknik pembedahan dikenalpasti membantu masalah ini. Antaranya pembedahan memperbetulkan tulang yang terjejasPembedahan mengembalikan senyuman (smile surgery) antara prosedur yang dijalankan bagi mengembalikan wajah pesakit.
Rawatan Alternatif
Sebenarnya belum ada satu kajian khusus yang dijalankan bagi membuktikan sama ada rawatan alternatif seperti akupuntur berkesan dalam merawat masalah Bell's Palsy, kata beliau.
Namun Dr. Loganathan tidak menghalang seandainya pesakit ingin mencuba kerana mungkin ia satu rangsangan yang baik untuk saraf, namun keberkesanannya belum terbukti secara saintifik. Walaubagaimanapun sekali pun ingin mencuba rawatan alternatif, beliau tetap menyarankan pesakit agar meneruskan rawatan steroid kerana ia terbukti dan diyakini dalam merawat masalah Bell's Palsy.
Credit